Tajuk Artikel :
Keberkesanan Proses Pembelajaran Menggunakan Teknologi Sidang Video
Penulis :
Siti Hajar Halili, Shukri Sulaiman & Mohd Razha Abd. Rashid
Ulasan :
Kajian ini bertujuan untuk melihat sama ada proses pembelajaran berlaku atau sebaliknya apabila
pelajar menghadiri sesi sidang video. Soal selidik digunakan untuk memperoleh data dan seramai
226 responden menjawab borang soal selidik yang dihantar kepada mereka. Data telah dikumpul dan
dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan ANOVA sehala. Penyelidik menggunakan model proses
pembelajaran Gagne yang terdiri daripada sembilan fasa seperti motivasi, perhatian, jangkaan,
perolehan ingatan kembali, pemilihan persepsi, mengekod dan penyimpanan jangka panjang, gerak
balas/prestasi, maklum balas dan peneguhan serta generalisasi pembelajaran. Dapatan kajian mendapati
bahawa kebanyakan pelajar bersetuju bahawa proses pembelajaran berlaku semasa menghadiri sesi
sidang video dan fasa motivasi merupakan fasa yang paling penting terhadap penggunaan teknologi
sidang video dalam proses pembelajaran pelajar. Berdasarkan data yang diperoleh dan dianalisis,
beberapa cadangan dikemukakan untuk meningkatkan penggunaan media teknologi sidang video agar
lebih berkesan dan efisien dalam usaha membantu memudahkan proses pembelajaran
Artikel 2
Tajuk Artikel :
Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran dan Pembelajaran dalam Kalangan Guru Sekolah Menengah:Satu Kajian Kes:Pulau Pinang
Penulis :
Abdul Wahab Ismail Gani, Kamaliah Hj. Siarap dan Hasrina Mustafa
Ulasan :
Dalam bidang pendidikan, usaha mempertingkatkan penggunaan
komputer dalam pengajaran dan pembelajaran terus dipergiatkan bagi
melahirkan generasi muda yang celik komputer dan sentiasa peka
dengan perkembangan teknologi semasa. Selaras dengan kesungguhan
kerajaan menggalakkan penggunaan komputer dalam bidang
pendidikan, adalah wajar satu kajian dilakukan untuk mengetahui tahap
penggunaan komputer bagi pengajaran dan pembelajaran dalam
kalangan guru-guru. Justeru itu, satu kajian kes dijalankan di tiga buah
sekolah menengah Pulau Pinang. Teori Resapan Inovasi dijadikan asas
untuk mengenalpasti tahap penggunaan komputer dalam pengajaran
dan pembelajaran dan faktor-faktor yang mempengaruhinya. Kajian ini
dijalankan dengan menggunakan kaedah tinjauan. Borang soal selidik
telah diedarkan kepada 184 responden yang terdiri daripada guru-guru
di ketiga-tiga sekolah tersebut. Keputusan kajian mendapati bahawa
tiada perbezaan yang signifikan antara guru lelaki dan perempuan,
antara kategori umur dan antara mata pelajaran major yang diajar dari
segi penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Faktor
tahap pengetahuan, sikap, personaliti, sokongan organisasi dan sifatsifat
inovasi komputer (faedah relatif, kesepadanan, kerumitan,
kebolehcubaan dan keteramatan) didapati mempengaruhi penggunaan
komputer dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru.
Artikel 3
Tajuk Artikel :
Pembudayaan Literasi ICT Dalam Kalangan Pelajar Orang Asli Menerusi Persekitaran Pembelajaran Peribadi
Penulis :
Nor Syazwani Mat Salleh
Ulasan :
Pembangunan Persekitaran Pembelajaran yang diperibadikan dalam kajian ini bertujuan untuk
menyesuaikan mekanisma pembelajaran secara kendiri dalam kalangan pelajar Orang Asli bagi kemahiran
literasi ICT mereka. Hal ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana pelajar Orang Asli bersedia dan
berpengetahuan menggunakan ICT dalam kehidupan seharian mereka menerusi pembelajaran yang
diperibadikan. Kajian ini meneliti dan meninjau pengetahuan, kemahiran dan kesediaan literasi ICT dalam
kalangan pelajar Orang Asli. Pengetahuan pelajar Orang Asli mengenai tujuan pembelajaran yang
diperibadikan, peralatan yang digunakan, aplikasinya terhadap kepelbagaian gaya belajar mereka merupakan fasa yang penting dalam mereka bentuk persekitaran pembelajaran yang diperibadikan. Dalam fasa kesauran
kajian pembangunan ini, data dikumpul menggunakan satu set instrumen kesediaan literasi ICT dan temu
bual melibatkan pelajar Orang Asli di Mantin, Negeri Sembilan. Dapatan kajian menunjukkan secara
keseluruhan majoriti pelajar Orang Asli mempunyai pengetahuan dan kemahiran literasi ICT yang rendah.
Dapatan kajian membawa implikasi kepada keperluan penggunaan ICT dalam kehidapan seharian pelajar
Orang Asli.